Pages

Friday, June 24, 2011

Permuda Bermalam Di Syurga

Lima orang buruh yang sangat miskin tinggal di sebuah kampung yang kecil. Mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menampung sara hidup diri sendiri dan keluarga. Kelima-lima mereka berpakat untuk mencari pekerjaan di bandar bersebelahan dengan kampung mereka.

Mulalah mereka membanting tulang di Bandar setiap hari dari pagi hingga ke petang. Mereka hanya pulang ke kampung menemui keluarga pada cuti hujung minggu. Namun salah seorang daripada mereka tidak begitu. Setelah selesai pekerjaan yang dilakukan ketika menjelang waktu Maghrib, dia segera menunaikan solat, kemudian bergegas pulang ke rumahnya di kampung. Keesokannya dia datang semula ke Bandar untuk meneruskan kerjanya.

Keadaan itu membuatkan kawan-kawannya berasa hairan. Mereka berkata kepadanya, “ Mengapa kamu memenatkan diri berulang alik tidur bersama keluarga di kampung yang jauh jaraknya, padahal kamu tak mempunyai isteri dan anak-anak?

Dia menjawab, “ Sesungguhnya aku pulang setiap malam untuk tidur di syurga! ” Kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa oleh teman-temannya. Mereka berkata, “ Selama ini kami anggap kamu seorang yang siuman. Mungkin disebabkan kamu terlalu penat berulang alik fikiran kamu jadi kacau. Lebih baik kamu jumpa doktor supaya dia periksa dan rawat kamu.

Dia menjawab, “ Sebelum jumpa doktor, mari kita jumpa seseorang yang boleh jadi orang tengah yang dapat menentukan bahawa kata-kataku adalah benar dan kamu tidak akan mendustaiku lagi.

Mereka bertemu dengan seorang imam di sebuah masjid, lalu menceritakan kisah kawan mereka itu. Dengan tenang imam meminta lelaki itu menceritakan kisahnya.

Dia berkata, “ Saya adalah anak tunggal kepada dua ibu bapa yang telah tua. Sayalah yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk menyara mereka. Selepas selesai bekerja dan menunaikan solat Maghrib, saya terus pulang ke rumah saya di kampong. Setiba di rumah saya dapati ayah dan ibu saya telah makan malam dan tidur dengan nyenyak. Saya mengambil selimut dan tidur di hujung kaki mereka. Apabila fajar menjelang, saya membangunkan mereka untuk menunaikan solat Subuh. Saya sediakan air untuk mereka berwuduk, menyediakan sarapan dan keperluan-keperluan mereka. Selepas itu barulah saya ke Bandar untuk menyambung kerja dengan hati yang tenang. Saya benar-benar rasa bahagia kerana dapat menghabiskan malam saya di syurga.

Imam berkata kepada empat orang sahabatnya, “ Demi Allah, sahabat kamu ini benar! Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “ SYURGA ITU DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU ”

~ credit to Ustazah Maznah Daud~

No comments: