Berbanding umat Nabi Adam atau Nabi Noh yang mampu hidup
sehingga ratusan tahun, umat Nabi Muhammad ialah umat yang paling singkat
usianya. Nabi Muhammad sendiri usia baginda sekitar 63 tahun sahaja.
Hari ini, kita tidak terkejut apabila
mendengar anak muda seusia 20 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung.
Malah orang yang aktif bersukan dan bermain bola, tiba-tiba saja boleh tumbang
dan beberapa jam kemudian disahkan meninggal dunia. Betul, muda tidak bermakna
tidak akan mati dahulu dan tua tidak bererti akan mati cepat.
Tidak bermakna juga orang yang amat
mementingkan penjagaan kesihatan akan dapat bertahan panjang usianya. Hidup dan
mati manusia semuanya di tangan Allah dan bila-bila masa saja Dia boleh menarik
kita kembali pada-Nya.
Namun kita sebagai manusia, tetap juga
digalakkan mengambil berat aspek kesihatan agar terhindar daripada penyakit dan
dapat menikmati kehidupan dalam keadaan sihat dan bertenaga. Sihat ialah
anugerah berharga daripada Allah.
Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak
terhadap tubuh badan kamu." (Hadis Riwayat Bukhari) 'Hak' itu
termasuklah menjaga tubuh badan sendiri agar sihat dan terhindar daripada
penyakit. Malangnya 'hak tubuh' itulah yang selalu kita abaikan, sama ada kita
sedari atau tidak.
Kesihatan ialah nikmat termulia selepas nikmat iman.
Agama Islam meletakkan kesihatan dan
kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Rasulullah
bersabda yang bermaksud, "Mintalah
kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara
yang lebih baik daripada kesihatan selepas keyakinan(iman)." (Hadis
Riwayat Ibnu Majah) Sudah tentu kerana kesihatan yang baik membolehkan kita
membuat amalan, membanyakkan kebaikan dan sekali gus dapat menyumbang kepada
saham akhirat.
Malah dengan kesihatan yang baik, dapat
kita pergunakan untuk berjihad, bekerja dengan lebih baik, menjana pendapatan
yang kemudian digunakan semula untuk kebaikan. Malah kita juga digalakkan untuk
menggunakan kesempatan yang terbaik sebelum datangnya kesempatan yang buruk.
Dengan kata lain, elakkan amalan bertangguh membuat kebaikan kerana kata Ibnu
Ataillah, "Menunda amalan kebaikan
kerana (kononnya) mahu menanti kesempatan yang lebih baik ialah tanda kebodohan
yang mempengaruhi jiwa."
Rasulullah juga menegaskan dalam sabda
baginda, "Rebut lima perkara sebelum
datang lima perkara, muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum
miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati." (Hadis Riwayat
Al-Hakim) Juga pesanan baginda lagi, "Ambil
peluang daripada kesihatan kamu untuk masa sakit kamu dan kehidupan kamu untuk
masa kematian kamu." (Hadis Riwayat Bukhari).
Hadis ini juga mengingatkan kita supaya
mengamalkan prinsip berhati-hati dan berjaga-jaga sebelum kita didatangi
kesukaran yang lebih memeritkan.
Islam memberi kelebihan kepada orang yang kuat (sihat).
Rasulullah sendiri menegaskan dalam hadis, "Mukmin yang kuat lebih baik dan
disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah." (Sunan An-Nasai) Umat
Islam yang sihat sekali gus memberikan imej yang baik mengenai Islam. Malah
jika kita himbau zaman Rasulullah dan siri peperangan pada zaman perkembangan
Islam, bayangkanlah jika mereka pergi berperang tanpa tubuh badan yang sihat,
sudah tentulah kemenangan tidak akan berpihak kepada mereka.
Bukan tiada orang yang tidak sihat pada
zaman Rasulullah. Namun Allah sendiri memberikan keutamaan kepada orang yang
sihat saja untuk menyertai barisan pejuang. Hal ini ditegaskan dalam firman
Allah dalam surah al-Fath: 17 yang bermaksud, "… Tiada dosa bagi orang buta, atau orang yang pincang, atau orang
yang sakit (apabila mereka tidak ikut ke medan perang)." Ayat ini memberikan pengecualian kepada
orang yang sakit dan tidak sempurna kesihatannya untuk keluar berjihad.
Islam menggariskan kaedah penjagaan kesihatan.
Dalam Islam terdapat prinsip "pencegahan lebih baik daripada
rawatan" dan prinsip "menutup
pintu kerosakan". Hal ini bermakna, kita harus berusaha mengelak
penyakit sebelum ia datang menghampiri. Antara kaedah penjagaan kesihatan yang
diajarkan Islam termasuk:
1 Jauhkan diri daripada sumber penyakit.
Sebelum dijangkiti penyakit, kita
digalakkan untuk lari daripada sumber penyakit itu sendiri.
2 Laksanakan proses tazkiah (penyucian jiwa).
Antaranya dengan membanyakkan ibadat,
solat, zikir dan mengingati Allah dalam apa-apa jua keadaan, kerana kesemua ini
ada kena-mengena dengan kesihatan fizikal.
Proses tazkiah akan memberikan ketenangan
kepada jiwa dan ketenangan jiwa akan mempengaruhi kesihatan fizikal. Allah
sendiri mengingatkan melalui surah ar-Ra'd: 28 yang bermaksud, "Tidakkah dengan mengingat Allah, akan
menenangkan hati?" Begitu juga sabda Rasulullah, "Puasa ialah perisai." (Hadis Riwayat Muslim), juga
merupakan galakan ke arah proses penyucian jiwa.
Dan apa yang pasti, tanpa nikmat sihat, ais krim, coklat dan kek yang sedap lagi menggiurkan pun tiada makna ;)
Dan apa yang pasti, tanpa nikmat sihat, ais krim, coklat dan kek yang sedap lagi menggiurkan pun tiada makna ;)
No comments:
Post a Comment