ALAM barzakh adalah satu alam lain yang pasti akan ditempuh dan dihuni manusia selepas kehidupan dunia ini. Manusia tetap berada di alam barzakh sehinggalah kedatangan hari kiamat sebagai tanda berakhirnya dunia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila sudah sampai ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya (melambatkan) barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).” (Surah al-A’raf, ayat 34)
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Apakah tidak Kami panjangkan sudah umur kamu, dalam waktu di mana kamu boleh mengingat bagi mereka yang mahu ingat. Dan sudah datang kepadamu yang memberikan teguran dan perhatian.” (Surah Fatir, ayat 37)
Rasulullah SAW bersabda:
“Yang akan mengikuti mayat (semasa dihantar ke tanah perkuburan) tiga perkara (iaitu): kaum keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua perkara akan pulang (kembali ke rumah) iaitu keluarga dan harta. Satu (saja) yang tinggal (yang ikut bersamanya ke alam barzakh) iaitu amalannya.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Merenung sabda Baginda SAW itu menjadikan kita insaf bahawa nikmat kehidupan ini terlalu mahal harganya. Manusia hanya bernilai di sisi Allah jika keseluruhan kehidupannya diisi ibadah dan amal soleh kerana hanya amal soleh bekalan terbaik menghadap Allah nanti.
Setiap detik dan masa berlalu itu sebenarnya adalah umur kita. Bermakna dari hari ke hari, umur semakin berkurang dan ajal semakin mendekat, sedangkan kematian itu berlaku tepat pada masanya, tidak kira tua atau muda, tidak kira dalam keadaan sihat atau sakit.
Setiap detik dan masa berlalu itu sebenarnya adalah umur kita. Bermakna dari hari ke hari, umur semakin berkurang dan ajal semakin mendekat, sedangkan kematian itu berlaku tepat pada masanya, tidak kira tua atau muda, tidak kira dalam keadaan sihat atau sakit.
Saidina Ali pernah mengungkapkan (bermaksud):
“Dunia ialah pasar akhirat yang mana orang mukmin adalah saudagarnya, amal soleh keuntungannya, dosa kerugian, manakala panjang usia modalnya.”
Rasulullah SAW bersabda:
“(Allah) akan memberi kuasa untuk menyeksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuknya hingga berdirinya kiamat. Jika seekor saja dari ular itu meniupkan bisanya ke bumi, nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi).”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada puteranya:
“Wahai anakku, bersegeralah kamu bertaubat, kerana maut itu datang secara tiba-tiba, dan apabila malaikat maut datang, dia tidak memberitahumu terlebih dulu.”
Selagi umur kita masih ada dan Allah SWT memberi waktu hidup, bersegeralah rujuk kepada Allah SWT dan bertaubat jika terlanjur berbuat dosa, patuhi perintah, jauhi tegahan-Nya serta jadikan takwa sebaik-baik bekalan. Andainya maut datang secara mengejut, kita sudah mempunyai persiapan untuk pulang ke pangkuan Ilahi.
No comments:
Post a Comment